JENAYAH & MAHKAMAH

JURUTERA AWAM KANAN MENGAKU TIDAK SALAH TERBABIT RASUAH

22/04/2024 01:55 PM

ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Seorang jurutera awam kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu pembantu akaun Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Kedah untuk meluluskan bayaran sebanyak RM19,950, enam tahun lepas.

Tertuduh Fadziyani Mohamed, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim J. Jean Sharmila.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyubahati dengan seorang pengurus syarikat, telah menipu pembantu akaun tersebut untuk meluluskan pembayaran baucar untuk tujuan yuran perkhidmatan Kursus Latihan Kakitangan Kursus Pemasangan Penyaman Udara bernilai RM19,950 kepada syarikat berkenaan pada 31 Mei 2018 di Jabatan Akauntan Negara di sini.

Fadziyani pada ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Unit Tentera Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Kem Lapangan Sungai Petani (Jurutera Awam Kanan J48).

Dia didakwa di bawah seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazam Majid.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan. 

Mahkamah menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan