EKONOMI

SIDANG KEMUNCAK KL20 2024 SASAR TARIK PELABURAN BERKUALITI TINGGI - PM ANWAR

22/04/2024 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama)-- Sidang Kemuncak KL20 2024 dirangka secara strategik untuk memperkenalkan pembaharuan ketara yang bertujuan menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi dari seluruh dunia sambil pada masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan untuk berkembang ke peringkat global dan merebut peluang yang baru muncul.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Malaysia yang stabil dan tadbir urus yang baik, legasi pro-perdagangan dan pendirian berkecuali memenuhi permintaan rakan dagang negara. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sidang kemuncak itu menandakan usaha menyeluruh kerajaan untuk memangkin ekosistem teknologi.

“KL20 secara strategiknya selari dengan falsafah ekonomi pentadbiran pusat kerajaan ini, di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI

“(Ini) didukung oleh prinsip bahawa pertumbuhan dan pengagihan ekonomi bergerak seiring dan pelarasan kerajaan mesti sejajar dengan kuasa pasaran,” katanya semasa majlis perasmian sidang kemuncak itu, di sini, hari ini.

Anwar berkata teknologi telah menjadi penyama masyarakat dan penggalak produktiviti, menyediakan pekerjaan dan mata pencarian yang belum pernah wujud sebelum ini.

"Walaupun kita sedar akan ada kesan tidak diingini daripada  teknologi dan pertumbuhan usaha niaga yang tidak terkawal, kita sekali lagi melihat kepada keseimbangan: menerimaguna teknologi sambil pada masa yang sama memikul tanggungjawab kita kepada negara, alam sekitar dan komuniti global" kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata keyakinan yang berterusan daripada pelabur terhadap semua bahagian ekosistem pemula niaga memberi peluang kepada Malaysia untuk mencipta usaha niaga teknologi termaju.

Beliau mengumumkan 12 syarikat modal teroka antarabangsa akan menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur, dengan aset di bawah pengurusan bernilai berbilion dan rekod prestasi pelaburan yang cemerlang.

Selain itu, sejumlah syarikat berteknologi tinggi akan menyediakan kemudahan operasi, penyelidikan dan pembangunan, serta ibu pejabat serantau untuk memberikan perkhidmatan ke pasaran Asia dan Asia Tenggara.

Bagi sektor semikonduktor, Perdana Menteri berkata pegangan besar Malaysia dalam proses akhir telah menjadikannya kondusif untuk meneruskan proses awal yang bernilai tinggi, terutama dalam kategori reka bentuk litar bersepadu.

Untuk tujuan ini, beliau mengumumkan rancangan untuk membina taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di Asia Tenggara, yang akan menempatkan penyewa utama bertaraf dunia dan bekerjasama dengan syarikat global seperti pereka cip British, Arm Holdings.

"Ini dilakukan dengan sokongan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan kerajaan negeri Selangor.

“Selain itu, untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk yang sesuai kepada ekonomi utama, kita juga akan menyaksikan sambungan bandar ke bandar antara Kuala Lumpur dan Hangzhou supaya modal, bakat dan akses pasaran tidak lagi menjadi penghalang kepada kejayaan,” kata Anwar.

Beliau berkata kerajaan meletakkan Malaysia sebagai paksi kepada peneraju dalam semikonduktor, tenaga bersih, teknologi pertanian dan teknologi kewangan Islam.

"Mengukuhkan kelebihan kita akan memanfaatkan usaha bernilai lebih tinggi yang diperlukan untuk mencipta pertumbuhan vertikal baharu dan mengubah nasib kita," kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan