EKONOMI

MALAYSIA SASAR TARIK UNICORN GLOBAL DENGAN "UNICORN GOLDEN PASS" - RAFIZI

22/04/2024 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk menarik unicorn global memasuki Malaysia dengan “Unicorn Golden Pass” supaya pekerjaan berkemahiran tinggi dan bernilai tinggi dapat diwujudkan, selain membangunkan saluran perhubungan usahawan masa depan dan pemimpin kanan dalam teknologi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

“Melalui pelabur dan bakat yang sesuai di Malaysia, kita akan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global, dengan Unicorn Golden Pass,” katanya dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak KL20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia menawarkan pakej insentif, termasuk pengecualian yuran untuk pas penggajian bagi pengurusan kanan, sewa bersubsidi, kadar cukai konsesi terhadap keuntungan korporat, perkhidmatan penempatan semula, dan concierge syarikat pemula niaga yang menguruskan pendaftaran belakang tabir pada permulaan.

Beliau berkata KL20 mewakili hasrat negara untuk membawa Malaysia dalam 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia dan dalam konsep ini merupakan penekanan kepada pragmatisme serta tindakan.

Menurut Rafizi, KL20 menjangkau rancangan dan pelan tindakan, malah dilengkapi dengan tindakan yang bermula hari ini, termasuk “VC Golden Pass,” “Innovation Pass,” “Unicorn Golden Pass,” “GPU Scheme,” “Innovation Belt” dan “Single Window.”

“Selain Kertas Analisis yang akan kami lancarkan hari ini, kami akan memperkenalkan skim yang boleh digunakan serta-merta," katanya.

Pelan Tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu yang akan mempercepat bidang kritikal ekosistem syarikat pemula niaga iaitu modal, bakat dan kualiti syarikat pemula niaga.

“Matlamatnya adalah untuk Malaysia menjadi destinasi pilihan modal peringkat awal dan pertumbuhan; menjadi pusat usahawan bertaraf dunia dan bakat berkemahiran; dan sebagai lokasi bagi syarikat pemula niaga terkemuka dunia yang ingin bermula, berkembang dan berskala,” katanya.

Menerusi “VC Golden Pass,” beliau berkata kerajaan mahu pemodal teroka terkemuka dunia, dengan kecanggihan sumber teroka dan capaian global, menjadikan Malaysia sebagai lokasi.

“Kami menawarkan beberapa siri insentif, termasuk peluang akses pembiayaan rakan kongsi terhad, ruang pejabat bersubsidi, pendaftaran lesen dipercepat dan pengecualian yuran untuk pas pekerjaan,” katanya.

Katanya menerusi “Innovation Pass,” kerajaan berusaha untuk meluaskan kumpulan bakat berkemahiran tinggi dalam negara dengan pengenalan program pas pekerjaan berbilang peringkat yang memberi manfaat yang disesuaikan kepada pengasas, pengurusan kanan, bakat berkemahiran tinggi dan bakat am dalam teknologi.

“Bagaimanapun, walaupun dengan semua ini, kita mengakui bahawa teknologi terbaik dan paling cemerlang tidak akan memasuki Malaysia sekiranya infrastruktur kecerdasan buatan tidak disokong dengan baik,” katanya sambil memaklumkan Malaysia akan menumpukan untuk mendapatkan kapasiti yang lebih besar bagi cip berkomputer tinggi dalam pusat datanya.

Beliau berkata kerajaan sedang memperkenalkan Skim GPU (Unit Pemprosesan Grafik) KL20 untuk syarikat pemula niaga dan firma teknologi menyediakan penyelesaian kejayaan cemerlang di barisan hadapan teknologi AI, dan menawarkan infrastruktur yang diperlukan untuk berbuat demikian adalah penting.

Mengenai “Startup Single Window,” Rafizi berkata ia akan berperanan sebagai pusat sehenti mengenai maklumat dan aplikasi bagi ekosistem syarikat pemula niaga.

“Malaysia berkait rapat dari segi geografi dan budaya dengan pasaran terbesar dunia: Asia Tenggara, Asia Timur, India, dan Timur Tengah.

"Penduduk tempatan kita yang pelbagai, digabungkan dengan kemudahan digital berkualiti tinggi dan kos berpatutan, menjadikan kita sebagai tapak uji yang ideal untuk pelancaran produk dan rintis," katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah lokasi dan pintu masuk ke Timur.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan