EKONOMI

SIDANG KEMUNCAK KL20 2024 BERMULA ISNIN

22/04/2024 09:11 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menandakan detik penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama syarikat berkenaan dan pemodal teroka.

Sidang kemuncak dua hari itu bakal mendedahkan kertas tindakan KL20 yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, yang merupakan pelan hala tuju untuk mencapai penumpuan dalam kalangan pemegang kepentingan utama bagi melonjakkan sektor teknologi syarikat pemula niaga Malaysia ke tahap baharu.

Salah satu acara utama hari ini ialah majlis menandatangani perjanjian di antara Pemecut Semikonduktor Malaysia dan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC): Hab Selangor dengan rakan kongsi ARM Ltd, Phison Malaysia, SkyeChip dan Persatuan Industri Semikonduktor Shenzhen.

Ini merupakan inisiatif utama kerajaan negeri Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam reka bentuk IC.

Perintis industri seperti Rakan Kongsi Pengurusan GGV Capital Jenny Lee; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Hive Geraldine Andrieux Gustin dan Naib Presiden Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan China Investment Corp Qi Bin akan berkongsi pandangan mengenai faktor yang merangka masa depan keusahawanan dan inovasi.

Sidang kemuncak itu akan menyerlahkan potensi Malaysia sebagai persekitaran yang kondusif untuk syarikat-syarikat pemula niaga, terutamanya dalam sektor utama seperti pembuatan dan automasi, teknologi pertanian atau agritech, teknologi bersih dan kewangan Islam.

Kuala Lumpur menawarkan kelebihan strategik untuk syarikat-syarikat pemula niaga, dengan lokasinya di tengah-tengah Asean, memiliki hubungan ekonomi yang teguh, kumpulan bakat yang pelbagai dan kos sara hidup yang kompetitif.

Dianjurkan oleh kerajaan Malaysia dan diterajui oleh Kementerian Ekonomi, lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan