AM

SULTAN NAZRIN, TUANKU ZARA BERANGKAT KE MAJLIS MAKAN MALAM AMAL BERSAMA DAYANG DAN HAEL

21/04/2024 11:43 PM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Kelab Bakti Gunung Kledang (KBGK) Bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 8.10 malam disambut Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah serta Presiden KBGK Muhammad Hamzah Md Hamdan.

Baginda berdua kemudian berkenan menyertai majlis santapan bersama kira-kira 700 tetamu serta menyaksikan persembahan Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini.

Pada majlis itu, Hael mendendangkan lima lagu iaitu Jampi, Peluang Kedua, Hajat, Aku Cinta Padamu dan Can't Take My Eyes Off You manakala Dayang Nurfaizah pula melantunkan lagu-lagu Di Pintu Syurga, You To Me Are Everything, The Greatest Love Of All, Ketipang Payung dan Umpan Jinak Di Air Tenang.

Mereka kemudian menyanyikan lagu Haram secara duet sebagai persembahan penutup.

 Makan Malam Amal bertema 'Beramal, Berbakti Bersama Dayang Nurfaizah & Hael Husaini' itu bertujuan mengumpul dana bagi membolehkan KBGK melaksanakan program serta aktiviti yang dirancang sepanjang 2024 dan 2025.

Pengerusi Majlis Makan Malam Amal itu Norali Nordin berkata pihaknya berjaya mengumpul RM500,000 hasil jualan 67 meja.

Beliau berkata sebanyak RM200,000 akan disalur kepada 10 badan kebajikan dan badan bukan kerajaan serta sebuah maahad tahfiz.

"Selain itu, kita akan menumpukan program dalam sektor pendidikan bagi Orang Asli termasuk di Sungai Siput dan kolej komuniti serta kursus asas perniagaan dalam program ekonomi bagi mereka mengembangkan perniagaan," katanya.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan