AM

MALAYSIA BERHASRAT JADI 20 NEGARA TERBAIK DALAM EKOSISTEM PEMULA GLOBAL MENJELANG 2030 - PM

21/04/2024 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjadi antara 20 negara terbaik dalam ekosistem pemula niaga global menjelang 2030 dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab pemula serta digital serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehubungan itu, Sidang Kemuncak KL20 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula esok menjadi forum memudah cara syarikat permula dalam pelaburan bernilai tinggi.

Beliau berkata forum itu juga menggalakkan syarikat pemula berkembang ke luar negara dengan memanfaatkan rantaian ekosistem global yang lengkap.

“Saya menghargai perkongsian daripada wakil-wakil syarikat modal teroka dan pelabur yang hadir. Adalah penting supaya dasar-dasar kerajaan mengambil kira perspektif dan strategi jangka panjang mereka.

“Saya tegaskan tekad kerajaan mendukung syarikat-syarikat pemula dengan mempunyai dasar yang jelas merangkumi visi negara, kekuatan sumber dan perspektif pelabur,” katanya dalam hantaran di laman Facebook selepas menghadiri Majlis Makan Malam Eksklusif KL20 sempena Sidang Kemuncak KL20.

Anwar juga  berkata Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam membentuk ekosistem pemula yang dinamik agar dapat memposisikan Malaysia sebagai hab utama untuk keusahawanan dan inovasi.

Perdana Menteri akan merasmikan persidangan itu esok yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan