SUKAN

ACARA LARIAN RENTAS DESA SM SAINS TUANKU JAAFAR PATUH GARIS PANDUAN - KP PENDIDIKAN

21/04/2024 09:09 PM

GUA MUSANG, 21 April (Bernama) -- Acara larian merentas desa yang dilaksanakan Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini mengikut garis panduan sedia ada.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata sehubungan itu, tidak timbul isu untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir sekolah berkenaan susulan kejadian seorang pelajar rebah dan kemudian meninggal dunia ketika menyertai acara terbabit.

“Ini adalah kemalangan (pelajar rebah kemudian meninggal dunia) dan program (merentas desa) yang dilaksanakan itu adalah anjuran pihak sekolah.

“Setiap acara larian merentas desa ada garis panduan sedia ada dan tidak timbul soal tindakan perlu diambil terhadap pentadbir sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Pendidikan MADANI Sekolah Murid Orang Asli di penempatan Orang Asli Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar yang merupakan pesakit jantung berlubang, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, Jumaat lepas.

Pelajar berkenaan Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, rebah kira-kira 50 meter sebelum ke garisan penamat bagi acara larian itu kira-kira 9.30 pagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan