JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITEMUKAN MATI DIPERCAYAI DIBUNUH

21/04/2024 09:03 PM

SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan di dalam semak berdekatan pondok bas di tepi jalan KM 10 Jalan Seremban-Port Dickson dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian itu pada 9.20 pagi.

“Pemeriksaan pada badan mangsa menemukan kesan kecederaan dan disyaki dibunuh menggunakan senjata tajam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah motosikal yang didaftarkan atas nama mangsa, topi keledar, selipar serta seutas jam tangan bersamanya manakala tiada dokumen peribadi milik lelaki itu dijumpai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Port Dickson hari ini menemukan kesan tetakan pada bahagian tepi leher dan kepala mangsa serta punca kematiannya disebabkan luka kelar di leher.

Aidi Sham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Husairin Che Hussin menerusi talian 012-965 4927, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Port Dickson 06-646 2999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan