AM

HARI BELIA NEGARA DI MELAKA BAKAL TAMPIL 10 SEGMEN GAYA HIDUP RAKAN MUDA

21/04/2024 05:37 PM

ALOR GAJAH, 21 April (Bernama) -- Pelbagai program diatur sempena Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Mei ini melibatkkan 10 segmen gaya hidup rakan muda.

Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata bertempat di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, acara itu meliputi segmen litar, aktif, bumi, demokrasi, digital, ekspresi, muzik, mahir, niaga dan prihatin.

"Persediaan bagi menjadi tuan rumah sedang berjalan lancar dan kita telah mengadakan tiga mesyuarat bersama kerajaan negeri dan Kementerian Belia Sukan (KBS) bagi memastikan acara berlangsung dengan jayanya.

"Sambutan HBN2024 ini satu program yang amat penting dan bermakna untuk negeri ini setelah sekian lama tidak menjadi tuan rumah selain dilihat mampu menjadi tarikan terutama berlangsungnya Tahun Melawat Melaka (TMM2024)," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh.

Katanya HBN peringkat negeri Melaka yang berlangsung pada 18 dan 19 Mei ini juga akan diisi dengan pelbagai program menarik antaranya debat, pidato, e-sukan, program sisa ke tunai dan pameran kenderaan.

Dalam pada itu Shanmugam berkata beliau berbesar hati dengan sambutan masyarakat terhadap penganjuran rumah terbuka tersebut yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan