AM

MUZIUM SARAWAK JALIN KERJASAMA DENGAN JABATAN PENDIDIKAN

21/04/2024 04:00 PM

KUCHING, 21 April (Bernama) -- Jabatan Muzium Sarawak dan Jabatan Pendidikan negeri menjalinkan kerjasama dalam usaha memupuk minat anak muda menghargai dan menghayati sejarah negeri itu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata muzium bukan hanya untuk mempamerkan barangan purba malah tempat untuk mempelajari sejarah dan khazanah.

"Kalau kita lihat muzium-muzium di negara barat, sebelum muzium dibuka pada pukul 8 atau 9 pagi sudah beratur anak-anak sekolah di luar menunggu giliran untuk masuk ke muzium.

"Perkara seperti itu yang saya mahu lihat di sini dan saya telah memaklumkan kepada pihak muzium untuk menulis surat kepada pihak sekolah untuk menggalakkan murid serta pelajar meluangkan masa di muzium," katanya kepada pemberita selepas menerima pelawat yang ke sejuta Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini. 

Beliau berkata muzium itu turut menyediakan permainan interaktif dan berinformasi untuk para pelajar dan pihak muzium juga menggalakkan penuntut institusi pengajian tinggi mengadakan aktiviti atau acara yang berkaitan bagi menjadikan muzium tempat pembelajaran yang menyeronokkan.

Terdahulu, Abdul Karim menyampaikan cenderahati berupa telefon bimbit, tablet dan buku kepada pengunjung yang ke sejuta Muzium Budaya Borneo.

Pengunjung bertuah itu merupakan pasangan suami isteri dan dua anak mereka dari Kampung Hulu Tebelu, Sebuyau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan