AM

QC GROUP SASAR 300 CAWANGAN HOME MENJELANG 2025

21/04/2024 03:01 PM

IPOH, 21 April (Bernama) -- QC Group Sdn Bhd pemilik kepada jenama pendidikan HOME Terapi Matematik (HOME), menyasarkan lebih 300 cawangan dengan penyertaan 30,000 pelajar dalam dan luar negara menjelang 2025.

Pengarah QC Group Sdn Bhd Muhamad Tajudin Mustafa berkata buat masa ini HOME mempunyai 1,200 tenaga pengajar bertauliah, di 127 cawangan di seluruh negara dan di Indonesia dengan 6,287 pelajar.

“Dengan pertumbuhan lebih 300 cawangan, HOME menyasarkan dapat mendidik 30,000 pelajar pada masa akan datang. Meskipun signifikan, jumlah pelajar itu hanya mewakili 0.6 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar sekolah di Malaysia.

“Tenaga pengajar yang dilantik bukan hanya berpengalaman bahkan telah menjalani latihan komprehensif serta mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengajar. Pihak kami juga akan sentiasa berusaha menambah baik latihan bagi memastikan para pelajar yang dibentuk berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pejabat Urusan HOME Terapi Matematik di Bandar Meru Raya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan QC Group Sdn Bhd Che Nurul Khairunnisa Che Kadir.

Perasmian pejabat urusan tersebut disempurnakan Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor (KUSKOP) Chek Zainuddin Chek Jusoh.

Muhamad Tajudin berkata HOME menawarkan sesi pembelajaran kepada para pelajar seawal usia empat hingga 19 tahun, bagi membantu mereka menguasai subjek matematik melalui kaedah terapi, konsultansi dan persediaan peperiksaan.

“HOME juga merupakan jenama terulung yang menawarkan suasana dan kaedah pembelajaran dengan menggabungkan konsep terapi dan psikologi. 

“Pendekatan unik ini telah terbukti membantu pelajar meningkatkan prestasi dalam subjek matematik itu sendiri. Buktinya, modul HOME telah dinobatkan sebagai pemenang emas untuk Modul Pembelajaran 2019 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Mengulas tentang sistem perniagaan francais dalam sektor pendidikan yang dilaksanakan, Muhamad Tajudin berkata ia bermatlamat memperkasakan komuniti usahawan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Di bawah jenama HOME ini, kita telah mempunyai 88 francais yang sedang beroperasi. Ini merupakan salah satu contoh di mana apa yang dilakukan bukan hanya untuk memperkasakan usahawan, malah menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Muhamad Tajudin berkata HOME akan menyertai program Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2024 yang dijangka berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Melalui penyertaan di pameran francais itu nanti, kita berharap dan mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi usahawan francais di bawah jenama HOME,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan