AM

PAKEJ MELAKA NIGHTLIFE RANCAKKAN LAGI TMM 2024

21/04/2024 03:05 PM

MELAKA, 21 April (Bernama) -- Pakej Melaka Nightlife antara tiga inisiatif baharu diperkenalkan bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) dalam usaha menarik lebih ramai pelancong khususnya dalam kalangan kurang berkemampuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dua lagi pakej ialah Kempen Beli Cenderahati dan Menang serta Aplikasi Jom Melaka Cari Makan. 

"Melaka Nightlife merupakan pakej istimewa yang memberi peluang kepada pelancong dan pengunjung mendapatkan tiket pada harga serendah RM10 di kawasan pelancongan seperti Menara Taming Sari, Melaka River Cruise dan muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka bermula Jun ini. 

"Tawaran hebat ini boleh dimanfaat hanya sebulan sekali iaitu pada Sabtu pertama setiap bulan bermula 11 malam hingga 3 pagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah di Kiosk Cenderamata Banda Hilir di sini hari ini. 

Beliau berkata pakej Melaka Nightlife diwujudkan selepas beliau memantau inisiatif yang telah kerajaan negeri berikan pada 20 Feb lepas iaitu kemasukan percuma di 10 lokasi pelancongan.

"Kerajaan negeri terus mendengar denyut nadi rakyat yang inginkan tawaran hebat untuk menikmati lokasi pelancongan dan untuk itu, kita cipta pakej ini untuk memberi peluang kepada mereka kurang berkemampuan," katanya. 

Ab Rauf berkata pengusaha reruai makanan dan produk pelancongan di sekitar Banda Hilir juga digalakkan supaya bersedia menerima limpahan pengunjung yang dijangka hadir pada larut malam kelak.

Inisiatif Kempen Beli Cenderamata dan Menang pula, beliau berkata pengunjung boleh membeli Cenderamata Khas TMM2024 serendah RM15 sekali gus melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah TMM2024 yang menawarkan hadiah seperti kereta, motosikal dan sebuah bot berserta enjin.

"Bagi aplikasi Jom Melaka Cari Makan, ia menawarkan diskaun sehingga 50 peratus di lebih 200 buah restoran dan kafe yang berdaftar di seluruh Melaka bermula 1 Mei hingga 2 Jun ini. 

"Saya percaya aplikasi ini secara tidak langsung memperluaskan usaha mempromosi restoran dan kafe di Melaka di bawah subsektor pelancongan makanan sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga tempatan dan menarik lebih ramai pelancong dari pelbagai kategori," katanya. 

Terdahulu pada majlis tersebut, Ab Rauf turut mengumumkan pemenang hadiah utama bagi cabutan tiga bulan pertama iaitu Januari, Febuari dan Mac, yang memenangi kereta Perodua Aruz, Proton X50 dan Proton Persona. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan