POLITIK

AHLI PKR PERLU PERKUKUH PARTI, PANTAU SECARA DEKAT PELAKSANAAN PROGRAM - ANWAR

21/04/2024 02:35 PM

SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua ahli parti di peringkat negeri, cabang dan ranting, untuk mengukuhkan jentera parti dengan memantau secara dekat setiap pelaksanaan program, termasuk Kerangka Kerja Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 tahun (POP25), yang dilancarkan hari ini.

Beliau berkata jentera harus memastikan keanggotaan parti bertambah, manakala Majlis Pimpinan Negeri (MPN) perlu bergerak lebih aktif dan hebat, berbanding dahulu.

“Saudara-saudara tahu hebat bagaimanapun laungan kita, benar bagaimanapun perjuangan kita, tetapi kalau tidak disusun rapi dengan jentera yang kemas, kita akan tewas dengan orang-orang yang melaungkan slogan ‘hidup Melayu’ atau ‘laksanakan Islam’, walaupun kita tahu rekod mereka hambar belaka.

“Jadi kita harus tekankan program, laksanakan sebaiknya dan secara agresif menerangkan sikap kita dan pendirian kita dan secara sungguh-sungguh perkuat jentera kita, supaya Keadilan muncul sebagai gergasi dalam sistem politik negara kita,” katanya.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Presiden sempena Konvensyen 25 Tahun PKR, hari ini.

Anwar berkata beliau telah meminta kepimpinan parti untuk membantu jentera dengan memberikan maklumat dan memantau secara dekat pelaksanaan program di semua peringkat mengikut jadual.

KEMAS16 ialah satu kerangka persediaan untuk PKR menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dengan memperkukuhkan organisasi akar umbi melalui program tersusun dan berkala, mengikut templat perusahaan sosial sebagai gerak kerja ke arah PRU16.

Ia dibangunkan dan digerakkan Jabatan Pilihan Raya di peringkat pusat, negeri dan cabang, dengan tumpuan di kerusi-kerusi utama dengan menggembleng jentera parti dan sukarelawan.

POP25 pula ialah kerangka gerak kerja yang dibina melalui pendekatan tersusun, dalam usaha PKR untuk menambah ahli, ranting parti, jentera komunikasi terlatih, serta pelaksanaan latihan kepimpinan di peringkat negeri.

Selepas konvesnyen khas itu, kemuncak sambutan Jubli Perak penubuhan PKR akan diadakan pada 11 Mei ini, pada program Malam Sambutan 25 Tahun Keadilan di Sentul Depot, Kuala Lumpur.

Sambutan itu, dijadual berlangsung sepanjang hari dengan acara kemuncaknya penyampaian Amanat Presiden.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan