DUNIA

MALAYSIA PERLU MASA UNTUK TELITI CADANGAN VISA BERSAMA ENAM NEGARA ASEAN

21/04/2024 05:42 PM

BANGKOK, 21 April (Bernama) -- Malaysia memerlukan lebih masa untuk meneliti cadangan Thailand mengenai program visa bersama dengan enam negara ASEAN lain untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke rantau ini. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu masih di peringkat awal perbincangan dan Malaysia perlu mendapatkan lebih maklumat mengenainya. 

Beliau berkata Thailand ingin mendapatkan peluang yang bakal hadir daripada gabungan enam negara ASEAN yang mempunyai potensi dalam pelancongan dan ekonomi.

“Tapi Malaysia sentiasa mencari keseimbangan dari aspek potensi ekonomi dan kepentingan mempertahankan isu keselamatan negara," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin sebelum ini mencadangkan inisiatif visa jenis "Schengen" atau bersama dengan Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar dan Vietnam bagi merancakkan lagi industri pelancongan di keenam-enam negara itu yang menerima ketibaan pelancong asing berjumlah 70 juta orang pada tahun 2023.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pihaknya sedang membuat beberapa cadangan kepada China supaya memanjangkan visa pelancong bagi rakyat Malaysia kepada 30 hari daripada 15 hari sekarang. 

Katanya, cadangan itu akan diusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu untuk persetujuan. 

Sejak 1 Dis lepas, Malaysia telah melaksanakan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China, manakala Kerajaan China juga telah memberi pengeculian visa selama 15 hari untuk pengembara  Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan