POLITIK

KEJAYAAN PERJUANGAN REFORMASI PKR DIUKUR HASIL DASAR DINIKMATI RAKYAT - SAIFUDDIN

21/04/2024 12:10 PM

SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Kejayaan perjuangan reformasi PKR diukur berdasarkan dasar serta program yang memberi manfaat dan dapat dinikmati rakyat, bukan berpandukan jumlah wakil parti dalam Kabinet, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata kejayaan sebenar perjuangan reformasi parti itu ialah apabila PKR yang berada dalam pentadbiran kerajaan, berupaya memperkenalkan dasar yang memberi manfaat dan dapat dinikmati rakyat.

Beliau berkata dalam mencapai perjuangan itu, PKR sebagai parti utama dalam kerajaan perlu melakukan perkara yang betul, walaupun ada kalanya terpaksa mengambil langkah tidak popular.

“Kejayaan reformasi bukan soal jumlah wakil PKR dalam Kabinet, jumlah MB negeri (menteri besar) daripada PKR, jumlah exco tetapi dasar yang kita buat untuk rakyat… itu ukuran sebenar.

“Pengurusan kewangan negara secara mikro, harus diurus dengan penuh bijaksana dan kita mungkin melakukan sesuatu perkara yang ‘pahit’ untuk jangka pendek, tapi kita tahu, kita lakukan perkara yang betul… sebab itu kita mula berbicara tentang subsidi bersasar misalnya,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen 25 Tahun PKR, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Konvensyen khas itu diadakan sempena sambutan Jubli Perak penubuhan PKR, yang mencapai usia 25 tahun pada 4 April.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata meniti usia kematangan PKR, parti itu perlu sentiasa mengambil iktibar daripada liku perjuangannya termasuk ketika menjadi pembangkang dan semasa di dalam kerajaan untuk tempoh 22 bulan sebelum ini (selepas Pilihan Raya Umum Ke-14).

Beliau berkata PKR perlu mengelak daripada bersikap lupa diri dan terpersona dengan kuasa, sehingga melupakan asas perjuangan kerana kelekaan boleh menggagalkan usaha melakukan reformasi untuk membetulkan sistem lama, demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Saifuddin turut memberi peringatan kepada semua ahli akar umbi serta kepimpinan PKR di semua peringkat, untuk terus memperkukuh parti dan tidak membiarkan sebarang ‘gelora’ dalaman melemahkan parti itu.

Beliau berkata sehingga 21 Mac 2024, jumlah keanggotaan PKR meningkat kepada 1.15 juta ahli berbanding 1.13 pada 21 Jun 2023, iaitu pertambahan seramai 16,529.

“Tanggungjawab kepimpinan sekarang ialah mempertahankan dan memperluaskan (keahlian) parti ini kerana dalam politik pilihan raya, ini adalah politik berdasarkan game of numbers,” katanya.

Selepas konvesnyen khas itu, kemuncak sambutan Jubli Perak penubuhan PKR akan diadakan pada 11 Mei ini pada program Malam Sambutan 25 Tahun Keadilan di Sentul Depot, Kuala Lumpur.

Sambutan pada 11 Mei itu, dijadual berlangsung sepanjang hari dengan acara kemuncaknya penyampaian Amanat Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan