EKONOMI

PERATURAN BAHARU VISP BOLEH BERI MANFAAT KEPADA ORANG RAMAI, KATA PAKAR

21/04/2024 10:29 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pelaksanaan peraturan baharu bagi penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan (VISP) di Malaysia ditambah dengan teknologi canggih, menjanjikan penambahbaikan signifikan terhadap keselamatan kenderaan dan kualiti perkhidmatan di samping menangani kebimbangan pengguna.

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata selain itu, pengguna juga boleh mendapat manfaat daripada masa menunggu yang lebih singkat.

Bulan lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Puspakom tidak lagi menjadi satu-satunya VISP untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 Sept, 2024.

Beliau berkata Kabinet telah memutuskan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dibuka kepada semua pihak yang berkelayakan, dan VISP baharu mesti memenuhi ambang kewangan modal berbayar RM10 juta dan modal kerja RM5 juta, memastikan hanya penyedia yang stabil dari segi kewangan memasuki pasaran.

Wan Mazlina berkata syarat kewangan yang ketat itu menandakan kemudahan pemeriksaan akan dilengkapi dengan alat diagnostik terkini dan teknologi canggih.

“Melalui penyepaduan teknologi dan menerima guna automasi, kita mempunyai peluang untuk mengurangkan masa menunggu dengan ketara di samping meningkatkan kecekapan dan ketepatan pemeriksaan kenderaan.

“Pelaburan strategik ini memperkasakan VISP untuk melancarkan proses pemeriksaan dan meminimumkan kesilapan manusia, sekali gus meningkatkan kepuasan dan kepercayaan orang awam,” katanya.

Beliau berkata pelaburan sedemikian juga akan mempertingkatkan kebolehpercayaan dan konsistensi pemeriksaan, menjajarkan piawaian keselamatan kenderaan Malaysia dengan penanda aras antarabangsa seperti ISO 17020 dan ISO 17025.

Langkah menambah lokasi VISP boleh mengurangkan tempoh pengguna menunggu dengan ketara sekali gus menangani isu mendesak yang dihadapi mereka yang ingin membuat pemeriksaan kenderaan, katanya.

“Walau bagaimanapun, syarat modal yang tinggi mungkin mengehadkan bilangan pihak yang ingin menjadi VISP khususnya di kawasan luar bandar dengan permintaan rendah, berpotensi mengekang persaingan.

“Walaupun matlamatnya untuk mengagihkan perkhidmatan dan menambah baik akses merentas lokasi bandar dan luar bandar, pelaburan modal tinggi yang diperlukan boleh menghalang kemasukan peserta baharu, dan ini secara tidak sengaja menumpukan perkhidmatan di kawasan bandar yang lebih menguntungkan,” katanya.

Di sebalik cabaran ini, Wan Mazlina yakin persaingan dalam kalangan VISP yang layak akan membawa kepada harga yang lebih kompetitif.

Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan standard kualiti, keselamatan dan integriti perkhidmatan yang tinggi, yang penting untuk kepuasan pengguna.

Tindakan itu juga boleh mempercepat pulangan pelaburan untuk VISP, mengimbangi kos permulaan yang tinggi dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, VISP baharu mesti mematuhi program jaminan kualiti yang ketat dan keperluan kawal selia.

“Audit berkala, proses yang telus dan latihan kakitangan yang berterusan penting untuk mengekalkan standard tinggi yang diharapkan oleh orang ramai dan pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan