JENAYAH & MAHKAMAH

LAPORAN POLIS TERHADAP CHEGUBARD, SALIM ISKANDAR DAN PAPAGOMO ATAS TUDUHAN PALSU - MCMC

20/04/2024 07:26 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat laporan polis terhadap tiga individu iaitu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) kerana membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai-pegawai MCMC.

MCMC memaklumkan laporan polis itu dibuat semalam berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube pada 17 April lepas.

"Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai MCMC bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik selain bersifat penyalahgunaan kuasa," menurut MCMC dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, MCMC memaklumkan ada antara tiga individu berkenaan telah memfitnah MCMC dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa serta bertanya bila kerajaan akan bertukar.

"Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung didalamnya," menurut kenyataan itu.

Oleh itu, MCMC menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.

MCMC memaklumkan penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan