AM

FIM2024 DIJANGKA TARIK 30,000 PENGUNJUNG, SASAR JUALAN BERNILAI RM600 JUTA

20/04/2024 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024 (FIM2024) yang akan diadakan pada 29 Mei hingga 1 Jun depan dijangka menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM600 juta.

Program pameran dan persidangan tahunan anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu dijadual bermula menerusi persidangan pada 29 Mei, diikuti pameran pada 30 Mei hingga 1 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan berkata FIM2024 akan turut diisi dengan penganjuran Mesyuarat Tahunan Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) dan Majlis Francais Dunia (WFC) yang mengumpulkan wakil persatuan francais daripada lebih 40 negara.

“Malaysia sekali lagi menjadi hos untuk mesyuarat ini setelah kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2013. Setakat ini, lebih 20 negara delegasi telah mengesahkan penyertaan antaranya Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Brazil, Singapura, Taiwan, Mexico, New Zealand, Mesir dan Thailand.

“Selain itu, turut diadakan penganjuran Franchise In-Buying Mission (FIBM) iaitu padanan perniagaan anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), yang menyasarkan pelabur dari 16 negara dengan lebih 100 sesi padanan perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Radzali berkata setakat ini lebih 80 peratus reruai telah diisi oleh syarikat-syarikat francais dan organisasi yang turut menyumbang kepada ekosistem francais.

“Pelbagai jenama francais tempatan dan antarabangsa akan menyertai FIM, memberi peluang kepada pengunjung untuk bertemu dan berbincang dengan penggiat industri. Bagi sesetengah penggiat industri francais, FIM adalah titik permulaan untuk mengembangkan perniagaan francais mereka dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata jenama yang telah mengesahkan penyertaan antaranya ialah QSolve, BubbleBee, CIC Where Leaders Are Born, LaundryBar, Ayam Penyet Best, Cambridge English For Life, Daily Fresh, Marrybrown, Wah Chan dan Q Bistro.

Bersempena dengan FIM2024, Malam Anugerah Francais Malaysia 2024 (AFM2024) edisi ke-26 juga akan diadakan pada 29 Mei di KLCC dengan jangkaan kehadiran lebih 800 tetamu.

Pengarah AFM2024 Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah berkata penganjuran malam anugerah berkenaan merupakan wadah penting untuk memberi pengiktirafan kepada semua penggiat industri francais tempatan supaya berusaha mengekalkan prestasi cemerlang dalam pasaran tempatan dan bersaing dengan lebih baik di peringkat global.

“Lebih menarik, pencalonan bagi anugerah tahun ini terbuka kepada semua penggiat yang terlibat dalam industri francais sama ada ahli atau bukan ahli MFA. Hal ini bagi menghargai sumbangan semua yang terlibat dalam pembangunan industri ini,” katanya.

Antara kategori yang akan dipertandingkan pada AFM2024 ialah Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori Terbuka, Kategori ESG dan Kategori Media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan