DUNIA

PENGEMBARA DARI DAN KE SINGAPURA BAWA LEBIH S$ 20,000 PERLU LAKUKAN PENGISYTIHARAN DALAM TALIAN

19/04/2024 11:46 PM

SINGAPURA, 19 April (Bernama) -- Semua pengembara yang memasuki atau meninggalkan Singapura membawa mata wang fizikal dan  instrumen boleh niaga (CBNI) dengan nilai lebih S$20,000 atau bersamaan dalam mata wang asing, perlu menghantar pengisytiharan yang dikehendaki secara elektronik berkuat kuasa dari 13 Mei ini. 

Jabatan Perhubungan Awam Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pengisytiharan menggunakan kertas  pada masa ini akan dihentikan pada tarikh sama.

Mata wang fizikal adalah syiling atau wang kertas sementara instrumen boleh niaga  (BNI) merupakan cek kembara atau sebarang instrumen boleh niaga seperti bil pertukaran, cek  atau nota janji hutang,  bon pembawa,  kiriman wang dan wang pos.

“Pengisytiharan CBNI membantu usaha Singapura membanteras aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram. Keperluan sedemikian adalah kebiasaan di banyak negara. 

Pengisytiharan CBNI secara elektronik akan disediakan mulai 10 Mei 2024 kepada pengembara yang akan tiba atau meninggalkan Singapura pada atau selepas 13 Mei 2024,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.  

Pengembara perlu melengkapkan pengisytiharan CBNI sebelum tiba ke pusat pemeriksaan Singapura di laman sesawang Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di https://go.gov.sg/cbnideclaration atau aplikasi mudah alih MyICA. 

Penghantaran boleh dibuat sehingga tiga hari sebelum tiba atau meninggalkan Singapura. 

Pengembara akan menerima makluman menerusi e-mel selepas hantaran berjaya dibuat yang boleh digunakan sebagai bukti pengisytiharan kepada pegawai ICA apabila diperlukan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan