JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

19/04/2024 10:18 PM

GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Seorang lelaki sindrom Down melecur di bahagian badan disyaki akibat disimbah air panas ketika berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Jalan Rajawali di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain berkata insiden berlaku ketika mangsa, 33, ingin pulang ke rumah di tingkat 16 dan dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada adik perempuannya pada kira-kira 9.20 pagi.

“Berdasarkan laporan oleh adik perempuan mangsa, mangsa mendakwa telah disimbah asid oleh seorang wanita ketika berada di dalam lif hingga melecur pada bahagian badan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan. Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa melecur pada sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan disebabkan terkena air panas, bukannya melecur akibat terkena asid dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti suspek yang disyaki tinggal di kejiranan sama namun punca kejadian belum diketahui kerana berdasarkan siasatan, mangsa tidak pernah bertegur sapa dengan wanita itu malah mereka juga tidak pernah berselisih faham.

Jafri berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, hanya suspek dan mangsa berada di dalam lif itu ketika kejadian.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan