SUKAN

LAPAN AKSI PRAMUSIM DIGUNAKAN UNTUK UJI SISTEM VAR - STUART

19/04/2024 10:17 PM

SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menggunakan lapan aksi pramusim bermula Isnin depan hingga 4 Mei ini untuk menguji sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata pihaknya mahu mengenal pasti masalah dan isu yang bakal timbul ketika sesi ujian berkenaan supaya mereka bersedia dengan penyelesaian apabila sistem itu mula digunakan pada musim 2024-25 membuka tirai pada 10 Mei ini.

“Tahun pertama selalunya akan ada masalah dan kita akan hadapi dengan hati terbuka serta mencari solusi terbaik untuk Liga-M.

“Diharapkan kita dapat buat persediaan sebaik mungkin, jadi bila masalah timbul kita sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi simulasi VAR kepada pihak berkepentingan seperti komisioner perlawanan, jurulatih dan pegawai pasukan di Stadium UiTM di sini, hari ini.

Namun, keputusan pelaksanaan VAR musim ini bergantung kepada kelulusan wakil daripada Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang sedang menguji sistem berkenaan bermula Khamis ini hingga Ahad.

Sementara itu, Stuart berkata MFL merancang menjadualkan maksimum tiga perlawanan untuk satu hari perlawanan, kerana pada masa ini hanya mempunyai empat set VAR.

"Jadi kami boleh pastikan satu unit VAR boleh digunakan pada hari-hari tertentu, jika ada perlawanan di Sabah atau Sarawak, satu set tersedia. Di mana-mana sahaja di seluruh dunia apabila melaksanakan sistem VAR, terdapat beberapa hari sistem VAR tidak berfungsi dan mengikut peraturan, perlawanan perlu diteruskan.

“Kita perlu membuat pengumuman untuk memastikan pasukan dan peminat tahu bahawa tiada VAR untuk perlawanan itu,” katanya.

Stuart berharap untuk memiliki sekurang-kurangnya enam set VAR pada musim akan datang, jika faktor kewangan membenarkan.

Ditanya mengenai bajet, beliau berkata setakat ini sekitar RM5 hinga 6 juta telah digunakan untuk VAR, manakala bajet operasi untuk setahun dijangka menelan belanja antara RM3.2 hingga 3.4 juta.

 

Jadual perlawanan ujian VAR:

  1. KL City lwn Negeri Sembilan (22 April) - Stadium Bolasepak Kuala Lumpur
  2. Kelantan Darul Naim lwn Sri Pahang (24 April) - Stadium Sultan Muhammad ke-IV
  3. Perak lwn Kedah Darul Aman (27 April) - Stadium Perak
  4. PDRM lwn KL City (27 April) - Stadium Majlis Perbandaran Selayang
  5. Sri Pahang lwn Terengganu (28 April) - Stadium Majlis Perbandaran Temerloh
  6. Kedah Darul Aman lwn Penang (30 April) - Stadium Darul Aman
  7. Terengganu lwn Kelantan Darul Naim (3 Mei) - Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin 
  8. Penang lwn Perak (4 Mei) - Stadium Bandaraya

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan