EKONOMI

Ipo Mkh Oil Palm Raih Minat Kukuh Pelabur, Terlebih Langgan 8.4 Kali

19/04/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd telah menerima minat kukuh daripada pelabur kerana ia telah terlebih langgan sebanyak 8.4 kali lebih awal daripada penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, penggiat ladang sawit itu berkata pelaksanaan IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 220 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 62 sen sesaham, mewakili 21.5 peratus daripada modal saham diperbesar dengan hasil berjumlah RM136.4 juta.

Selain itu, kumpulan itu berkata terdapat tawaran untuk penjualan sebanyak 30.7 juta saham sedia ada, atau 3.0 peratus daripada saham diperbesar melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

“Kumpulan itu telah menerima sebanyak 9,510 permohonan untuk 482.9 juta saham dengan nilai kira-kira RM299.4 juta bagi 51.2 juta saham yang diperuntukkan kepada rakyat Malaysia, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 8.4 kali.

“Bagi kategori bumiputera, terdapat sejumlah 4,628 permohonan diterima untuk 220.2 juta saham, menjadikan kadar terlebih langgan sebanyak 7.6 kali,” katanya.

Bagi kategori awam rakyat Malaysia lain, sebanyak 4,882 permohonan diterima untuk 262.6 juta saham, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 9.3 kali, kata kumpulan itu.

“Tawaran saham persendirian sebanyak 168.8 juta saham untuk pelabur terpilih telah dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Notis peruntukan itu akan diserahkan kepada pemohon berjaya menjelang 26 April 2024.

MKH Oil Palm dijangka disenaraikan di Pasaran Utama pada 30 April 2024.

Menurutnya selepas penyenaraian, permodalan pasaran kumpulan itu berjumlah RM634.6 juta, berdasarkan harga terbitan 62 sen sesaham dan modal saham diperbesar sebanyak 1.02 bilion saham.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja jamin pengurusan, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama pelaksanaan IPO manakala Kenanga Investment Bank Bhd merupakan penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama, manakala AmInvestment Bank Bhd adalah ejen penempatan bersama.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan