EKONOMI

Genting Plantations Jangka Permintaan Produk Sawit Melonjak Pada 2024

19/04/2024 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Permintaan untuk produk sawit diunjurkan meningkat berikutan keadaan ekonomi yang lebih baik pada 2024, menurut Genting Plantations.

Pengerusi Genting Plantations Bhd Datuk Seri Mohd Zahidi Zainuddin berkata lonjakan itu terus disokong oleh daya saing harga minyak sawit mentah (MSM) berbanding minyak sayuran lain.

"Harga minyak sawit dijangka disokong dengan baik pada paras semasa pada 2024 disebabkan oleh kitaran keluaran rendah bermusim pada separuh pertama serta kekangan bekalan keseluruhan dengan Indonesia meningkatkan penggunaan tempatan untuk industri makanan dan biodiesel," katanya dalam laporan tahunan integrasi Genting Plantations 2023.

Mohd Zahidi berkata minyak sawit dijangka digunakan dalam kuantiti yang banyak berikutan tahap populasi dan paras kekayaan global terus meningkat, ditambah dengan sifat kepelbagaian minyak sawit yang boleh diolah menjadi makanan dan bukan makanan. 

Keperluan makanan dan tenaga dunia akan dipenuhi oleh minyak sawit memandangkan kekurangan tanah pertanian dan untuk menangani kebimbangan keterjaminan makanan berikutan minyak sawit adalah tanaman yang mengandungi minyak paling cekap di dunia, katanya.

Pada 2023, purata harga MSM kumpulan itu ialah 15 peratus lebih rendah pada RM3,483 satu tan berbanding RM4,100 satu tan pada 2022, manakala harga purata isirung sawit menurun sebanyak 33 peratus kepada RM1,875 satu tan daripada RM2,784 satu tan pada tahun sebelumnya.

Mengenai prestasi kumpulan bagi 2024, beliau berkata ia akan bergantung kepada hala tuju harga produk sawit, yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran, tidak terkecuali prospek ekonomi global.

Dalam pada itu, Mohd Zahidi berpandangan bahawa inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan siap menjelang akhir 2026 adalah petanda baik untuk pasaran hartanah Johor, katanya.

Perkembangan ini, katanya membuka peluang yang berdaya maju bahagian hartanah kumpulan itu untuk memanfaatkan nilai simpanan tanahnya melalui aktiviti pembangunan yang dirancang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan