AM

3,850 IBU BEKERJA DI SELANGOR TERIMA INSENTIF MAMAKERJA RM1,000

19/04/2024 04:34 PM

SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Seramai 3,850 ibu bekerja di negeri ini menerima insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 bagi meringankan kos penjagaan anak-anak sebagaimana yang terkandung dalam manifesto gabungan Perpaduan Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ibu pekerja tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 5,595 permohonan yang diterima kerajaan negeri setakat Mac lalu.

"Kerajaan Negeri menerima 5,595 permohonan untuk MamaKerja dan setakat Mac lalu, seramai 3,850 ibu bekerja telah menerima insentif ini, dengan bakinya sedang diteliti untuk pengesahan dokumen," katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Amirudin berkata tinjauan dalam kalangan pemohon mendapati kos penjagaan anak diakui menjadi cabaran terbesar bagi ibu bekerja.

Beliau berkata inisiatif yang menjadi sebahagian daripada agenda ‘care-economy’ yang rancak dikembangkan itu adalah seiring dengan usaha kerajaan membina Selangor sebagai sebuah negeri progresif yang mengangkat kebajikan rakyat.

“Insya-Allah lebih banyak inisiatif kebajikan menyusul untuk pelbagai lapisan rakyat,” katanya.

Inisiatif MamaKerja yang dibuka bermula 1 Nov tahun lalu merupakan antara aku janji yang ditawar gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat semasa PRN Selangor, Ogos tahun lepas.

Tawaran melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta itu bakal memanfaatkan 5,000 wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata Kerajaan Perpaduan di Selangor telah melunaskan lima manifesto penting yang ditawarkan semasa PRN yang mencakupi pelbagai bidang iaitu ekonomi, kebajikan wanita dan petani, pendidikan serta pemerkasaan institusi agama.

Antara manifesto yang telah dilunaskan termasuk pemberian E-baucar buku mahasiswa bernilai RM200, pengecualian cukai taksiran 426,656 rumah kos rendah serta kampung dan pemberian insentif RM1,000 kepada 500 golongan petani dan nelayan berbentuk RM500 tunai manakala baki menerusi input peralatan.

Turut ditunaikan adalah bayaran kepada 760 imam di Selangor ditingkatkan sebanyak RM200 kepada RM1,500 manakala elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak juga dinaikkan RM50 sebulan kepada RM300 (nazir), RM340 (bilal) serta RM290 (siak).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan