JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Lelaki Israel Miliki Senjata Api: 10 Individu Ditahan Di Bawah Sosma

19/04/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Sepuluh individu yang disyaki mempunyai kaitan dalam kes berkaitan lelaki Israel yang didakwa memiliki senjata api, ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata 10 individu termasuk tiga warga asing ditahan semula selepas tempoh reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 mereka tamat, pada hari Selasa dan semalam.

“Tiga daripada mereka telah dituduh iaitu warga Israel (Avitan Shalom) dituduh di Mahkamah Jalan Duta baru-baru ini manakala pasangan suami isteri pula dituduh di Mahkamah Sesyen Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini. 

Jumaat lepas lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru di sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Pada 8 April lepas pula satu pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan.

Terdahulu Rusdi menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras melibatkan pelantikan Ketua Polis Daerah Cheras baharu ACP Ravinder Singh Sarban Singh menggantikan ACP Zam Halim Jamaluddin yang akan bertukar ke Maktab Teknik PDRM Bakri Muar Johor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan