EKONOMI

MARC: MALAYSIA PAMER KEUPAYAAN REALISASIKAN PELABURAN DILULUS JADI PELABURAN SEBENAR

19/04/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) --Malaysia mempamerkan keupayaannya untuk merealisasikan pelaburan yang diluluskan menjadi pelaburan sebenar, dengan sebanyak 78.7 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh dari 2018 hingga Jun 2023 telah berjaya direalisasikan, kata Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dijangka menarik lebih banyak pelaburan asing, usaha untuk mencapai faedah bersih daripada kerjasama luar ke arah eksport nilai tambah yang lebih tinggi perlu diutamakan. 

MARC berkata pelaburan asing yang direalisasikan dari semasa ke semasa akan meningkatkan nisbah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang berjumlah 3.6 peratus pada 2022, mendahului kebanyakan negara-negara setara lain di rantau ini.

“Usaha penyebaran teknologi memerlukan kapasiti penyerapan yang disokong oleh dasar pelaburan yang baik, infrastruktur berkualiti tinggi dan pelaburan modal insan yang berterusan.

“Ini diperlukan untuk memudahkan pelaksanaan tepat pada masa pelaburan asing yang diluluskan bernilai kira-kira RM188 bilion pada 2023, peningkatan 15.3 peratus berbanding yang dicatatkan pada 2022,” katanya.

Menurut MARC, eksport teknologi sederhana dan tinggi Malaysia sebagai bahagian daripada jumlah eksport pembuatan merosot daripada 76.4 peratus pada 2000 kepada 62.0 peratus pada 2021, berikutan persaingan serantau.

Selain itu, daya tarikan eksport Malaysia juga menurun selain minat yang berkurangan terhadap negara sebagai asas untuk penyumberan luar, katanya.

“Sebagai tindak balas kepada cabaran ini, NIMP 2030 menggariskan strategi jangka sederhana untuk bergerak ke arah menghasilkan barangan bernilai tinggi dan berdaya saing, yang dibangunkan bersandarkan pelan induk perindustrian masa lalu yang telah berjaya membangunkan industri elektronik yang matang.

“Walaupun matlamat itu termasuk peningkatan pekerjaan, gaji lebih tinggi dan nilai tambah yang lebih besar dalam sektor pembuatan, kejayaan pelaksanaannya kekal sebagai satu cabaran utama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan