EKONOMI

KDNK MALAYSIA SUKU PERTAMA DIANGGARKAN BERKEMBANG 3.9 PERATUS DIPACU SEKTOR PERKHIDMATAN - DOSM

19/04/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 3.9 peratus pada suku pertama 2024 berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata sektor perkhidmatan meningkat 4.4 peratus pada suku pertama 2024, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.

DOSM dalam kenyataan sama berkata sektor pembuatan mencatatkan pemulihan kepada 1.9 peratus pada suku tahun ini selepas menyusut 0.3 peratus pada suku keempat 2023.

Pertumbuhan sektor ini disokong oleh pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka; peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan; serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik, katanya.

Menurut kenyataan itu, perlombongan dan pengkuarian berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 3.8 peratus) dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti, dengan subsektor gas asli menjadi penyumbang utama.

Mohd Uzir pula berkata sektor pertanian meningkat 1.3 peratus (suku keempat 2023: 1.9 peratus) pada suku ini, disumbangkan oleh pengeluaran sawit dan ternakan.

Sektor pembinaan menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 9.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, terutama dipacu oleh subsektor kejuruteraan awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan