DUNIA

ATLET CHINA SIAP SEDIA HADAPI OLIMPIK PARIS SERTAI 165 ACARA

18/04/2024 11:23 PM

BEIJING, 18 April (Bernama-Xinhua) -- Dengan temasya Sukan Olimpik Paris kurang daripada 100 hari lagi, atlet China telah bersiap sedia untuk menyertai sekurang-kurangnya 165 acara dalam pelbagai sukan, lapor agensi berita Xinhua memetik Pentadbiran Am Sukan (GAS) negara itu.

Sehingga Rabu, China telah memperoleh slot Olimpik dalam 165 acara, kata seorang pegawai GAS.

Pada Kejohanan Badminton Asia baru-baru ini, Liu Yuchen dan Ou Xuanyi dari China merangkul slot beregu lelaki untuk Paris 2024.

Pencapaian ini menjadikan China satu-satunya pasukan yang memperoleh dua tempat Olimpik dalam kesemua lima kategori badminton.

Negara China mempunyai atlet terbaik dalam sukan tradisinya, mencapai perwakilan hampir penuh dalam angkat berat, menembak, gimnastik, terjun dan pingpong.

Selain itu, pasukan bola keranjang wanita, hoki dan polo air China semuanya telah layak ke Olimpik Paris.

Pasukan bola tampar wanita negara itu pula bersedia bersaing untuk ranking dunia pada Liga Negara-Negara 2024 bermula Mei.

Kejohanan kelayakan Olimpik yang akan datang pada bulan Mei dan Jun di Shanghai dan Budapest untuk sukan mendaki, papan selaju, breaking dan sukan gaya bebas BMX akan memberi peluang kepada atlet muda China untuk melayakkan diri.

Bagaimanapun, Sukan Olimpik Paris 2024 akan menyaksikan pengurangan 10 pingat emas berbanding Tokyo 2020, sekali gus mempengaruhi prospek pingat China.

Prestasi atlet China dalam beberapa acara utama juga dijangka terjejas oleh perubahan dalam barisan atlet.

Sebagai respons, seorang pegawai GAS berkata semua pasukan kebangsaan telah komited untuk memaksimumkan 100 hari terakhir sebelum temasya sukan itu untuk memastikan persediaan optimum bagi meraih kejayaan di Paris.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan