AM

KILANG KITAR SEMULA RM948 JUTA LETAK MELAKA DALAM PETA PELABURAN MESRA ALAM - AB RAUF

18/04/2024 09:24 PM

ALOR GAJAH, 18 April (Bernama) -- Kilang kitar semula berteknologi tinggi FE Green Pet (M) Sdn Bhd yang baharu dijangka akan menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan hijau dan melengkapkan strategi pertumbuhan ekonomi di negeri itu, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata dengan pelaburan berjumlah kira-kira RM948 juta, loji itu diunjurkan siap menjelang suku kedua 2025 serta mewujudkan hampir 500 pekerjaan di kawasannya yang berkeluasan 14 hektar.

“Projek ini penting kerana ia bukan sahaja akan membantu perintisan pertumbuhan ekonomi negeri tetapi juga menyelaraskan objektif negara kita untuk mencapai pengurangan 45 peratus dalam pelepasan karbon menjelang 2030.

“Sekarang ini, kutipan Malaysia bagi kadar kitar semula membabitkan polietilena tereftalat berada di antara 28 peratus dan 45 peratus, masih di bawah piawaian global,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang itu di Taman Perindustrian HICOM Pegoh di sini hari ini.

FE Green Pet merupakan anak syarikat Far Eastern Group dari Taiwan, peneraju global dalam sektor poliester.

Kilang itu akan menyumbang kepada pengurangan sisa, mengubah sisa menjadi produk nilai tambah untuk pelbagai industri seperti minuman, pakaian termasuk aksesori kepada beberapa pelanggan global terkemuka seperti Coca-Cola, Pepsi, F&N, Nike, Adidas dan Lululemon. 

Ab Rauf juga berkata memandangkan permintaan terhadap produk hijau dijangka meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja maklum dengan cabaran serta peluang yang menanti tetapi juga menggalakkan pelaburan hijau di Melaka, terutamanya pelabur yang berminat untuk memanfaatkan tenaga hijau daripada pelbagai sumber. 

“Bagi mengekalkan pertumbuhan selain mengalu-alukan kedatangan pelabur hijau ke Melaka, kita melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Melaka telah berusaha serius dalam menjadikan proses lebih mudah dan pendek serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk industri,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi FE Green Pet, Donald Fan menjelaskan penubuhan kilang itu bukan sahaja melengkapkan strategi pembangunan syarikat tetapi juga mencerminkan komitmen teguhnya terhadap perlindungan alam sekitar. 

“Dilengkapi dengan teknologi canggih, kilang ini akan mengubah botol plastik yang dibuang kepada produk bernilai tinggi, menggalakkan kitaran sumber dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan