SUKAN

KDA FC BERJAYA SELESAI TUNGGAKAN GAJI

18/04/2024 06:39 PM

ALOR SETAR, 18 April (Bernama) -- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya selesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023, sekali gus membolehkan pasukan kelab itu mengekalkan Lesen Kebangsaan bagi bersaing dalam Liga Super musim ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin berkata KDA FC telah selesaikan tunggakan gaji kesemua pemain, pegawai pasukan Liga Super, KDA FC B, KDA FC C, KDA FC D, serta staf pentadbiran kelab itu semalam.

“Pihak pengurusan telah berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak hujung tahun lepas, dengan daya dan usaha semua pihak terutamanya pemilik majoriti KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, yang tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik untuk kelab.

“Dengan selesainya isu tunggakan gaji tahun kewangan 2023 sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh First Instance Body (FIB) iaitu pada 20 April ini, bermakna KDA FC telah memenuhi syarat dan berjaya mengekalkan lesen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shahrul berkata pihaknya positif dengan perkembangan situasi terkini dan KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju yang telah dirancang untuk musim 2024/2025, serta musim-musim yang mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu.

“Bagi musim 2024/2025, KDA FC akan memulakan saingan dalam kejohanan tempatan dengan pasukan KDA FC C bertanding dalam Piala Presiden pada 21 April, diikuti KDA FC D pada 4 Mei untuk saingan Piala Belia, manakala pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC.

“Jadi, kita berharap semua pihak dapat terus memberi sokongan dan sumbangan berterusan, bagi membolehkan kelangsungan legasi bola sepak Kedah yang sudah menjangkau usia 100 tahun pada tahun ini,” katanya.

Beliau juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari, yang mengambil peluang untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha yang telah dilancarkan oleh pihak pengurusan KDA FC.

Sebelum ini, badan bebas FIB dilapor berkata jika KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikannya pada jam 5 petang 20 April ini, Lesen Kebangsaan kelab itu boleh ditarik balik dan ia tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan