EKONOMI

Peserta Industri Labuan Ibfc Rayu Mof Benarkan Aktiviti Perdagangan

18/04/2024 07:02 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 18 April (Bernama) -- Peserta industri Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) Labuan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi pertimbangan supaya membenarkan kegiatan perdagangan dalam lingkungan pusat itu.

Pengerusi Persatuan Syarikat-syarikat Amanah Labuan Datuk Chin Chee Kee berkata langkah itu penting untuk kemakmuran jangka panjang sektor perniagaan dan kewangan Labuan, yang berpotensi membawa hasil tambahan untuk negara.

“Usaha itu bukan hanya dapat meningkatkan jumlah syarikat dalam IBFC malah juga menyumbang hasil tambahan kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan kemudahan baru dibina Universal Serviced Offices (USO) Labuan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan di sini, pada Khamis.

Aktiviti perdagangan tidak lagi dibenarkan termasuk pembelian produk siap antaranya barangan perkilangan, dari satu negara dan menjual semula ke negara lain melalui entiti Labuan.

Chin berkata banyak syarikat telah menghentikan operasi di Labuan dan berpindah ke luar Malaysia.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa langkah membenarkan entiti Labuan menjalankan aktiviti perdagangan akan menggalakkan lebih banyak syarikat kembali untuk operasi perniagaan.

Beliau berkata Labuan IBFC tidak seharusnya dibandingkan dengan pusat kewangan yang ditubuhkan seperti di Singapura dan Hong Kong.

Walau bagaimanapun, beliau berkata berbanding dengan 70 pusat kewangan lain di seluruh dunia, Labuan IBFC berdiri setanding dalam banyak aspek, mematuhi sepenuhnya piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh pengawal selia seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Labuan IBFC merupakan penyumbang hasil yang besar kepada Malaysia dan Labuan, menarik peserta industri dari pelbagai wilayah.

“Oleh itu, tidak perlu ada sekatan ke atas aktiviti perniagaan yang sah yang menyumbang kepada hasil kerajaan,” katanya.

Beliau memuji Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan kerana melaksanakan dasar yang menggalakkan, yang menarik peserta industri untuk beroperasi di Labuan, kecuali aktiviti perdagangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan