JENAYAH & MAHKAMAH

BUNUH JURUTOL WANITA : BEKAS MEKANIK TERLEPAS HUKUMAN MATI, DIGANTIKAN PENJARA 35 TAHUN

18/04/2024 05:28 PM

KOTA BHARU, 18 April (Bernama) -- Seorang bekas mekanik terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan penjara 35 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh seorang wanita, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Mat dalam keputusan sebulat suara hari ini, membenarkan permohonan semakan Norhalis Mohamad Zaid, 38, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Tengku Maimun mengetepikan hukuman mati terhadap lelaki itu yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2 Okt 2018 dan digantikan dengan hukuman penjara 35 tahun dari tarikh tangkap 21 Julai 2015.

Norhalis telah berada dipenjara selama sembilan tahun sementara menunggu hukuman mati dihadapinya itu.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.

Pada 2 Okt 2018, Norhalis dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Noor Salwana Wahab, 28, seorang jurutol, di sekitar hotel di Seri Kembangan antara 6.30 petang, 17 Julai 2015 dan 2 pagi, 18 Julai tahun sama.

Rayuan Norhalis terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh itu ditolak Mahkamah Rayuan pada 10 Okt 2019, sebelum Mahkamah Persekutuan menolak dan mengekalkan sabitan pada 16 Dis 2020.

Terdahulu, peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili Norhalis memohon agar hukuman terhadap anak guamnya dikurangkan kepada hukuman penjara dan mengenakan rotan yang munasabah, atas alasan Norhalis merupakan seorang anak yang taat dan membantu ayahnya di kebun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati itu, kerana perbuatan yang dilakukan lelaki berkenaan dianggap terlalu kejam.

Pada 18 Julai 2015, media melaporkan penemuan mayat wanita berbalut dengan kain tebal di dalam sebuah kereta selepas kereta yang dipandu teman lelaki wanita itu terbabas di Lebuhraya Pantai Timur, dipercayai akibat mengantuk.

Mangsa yang bekerja sebagai jurutol dan tidak bercuti raya ditemukan di tempat duduk hadapan dengan kecederaan di bahagian leher, sementara pemandu kereta patah tulang rusuk.

Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Jengka, Pahang dan keraguan timbul ekoran tiada kecederaan luaran pada tubuh mangsa selain keadaan mukanya seperti lemas, sebelum pihak forensik mengesahkan kematian mangsa akibat kecederaan di leher.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan