EKONOMI

Petronas Lubricants, Mercedes-benz Jalin Kerjasama Bagi Sektor Selepas Jualan Automotif

18/04/2024 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Petronas Lubricants International (PLI) dan Mercedes-Benz Global Customer Service and Parts bekerjasama untuk membangunkan penyelesaian teknikal yang mengoptimumkan prestasi dan kecekapan kenderaan, bertujuan memacu kemajuan dalam sektor selepas jualan automotif.

PLI adalah cabang pembuatan dan pemasaran pelincir global syarikat minyak nasional Petronas.

Petronas dalam satu kenyataan berkata kedua-dua syarikat global itu akan memanfaatkan penerimagunaan strategi pendigitalan, pendekatan pasaran yang disesuaikan, kerjasama peringkat global yang kukuh serta inisiatif yang menyasarkan untuk mencapai neutraliti karbon, bagi menyampaikan nilai pelanggan yang dipertingkatkan dalam sektor itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PLI Hezlinn Idris berkata kedua-dua pihak dalam usaha mengembangkan jangkauan global, menjadikan penyelesaian mereka lebih mudah diakses sambil mengutamakan nilai pelanggan sebagai teras tawaran syarikat mereka.

"Memanfaatkan pengalaman kami dalam pembangunan Penyelesaian Teknologi Bendalir️, kami akan terus memberikan penyelesaian yang inovatif bagi memenuhi teknologi enjin termaju dan keperluan pemanduan berprestasi tinggi pelanggan kami termasuk meningkatkan kecekapan bahan api, prestasi enjin dan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan dan Perniagaan Alat Ganti Mercedes-Benz Group AG serta Jaminan dan Muhibah Mercedes-Benz Cars, Andreas Jörg berkata perkongsian strategik dengan PLI adalah peluang menarik untuk meningkatkan lagi komitmennya kepada pelanggan dengan bekerjasama dalam teknologi inovatif yang akan membentuk masa depan mobiliti dan pengalaman pelanggan.

"Di Mercedes-Benz Global Customer Service and Parts keutamaan kami adalah untuk memberikan tahap tertinggi kepuasan pelanggan, benar-benar menjaga kenderaan mereka dengan menawarkan produk berprestasi tinggi, inovatif dan mampan untuk kenderaan mereka," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama itu, PLI dan Mercedes-Benz Global Customer Service and Parts juga akan meneroka jalan untuk inisiatif pemasaran bersama, program pendidikan dan kempen jangkauan awam yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyelesaian mobiliti mampan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan