JENAYAH & MAHKAMAH

DUA INDIVIDU DITAHAN BANTU SIASATAN MINTA, TERIMA SOGOKAN DARIPADA FIRMA GUAMAN

18/04/2024 12:08 PM

MELAKA, 18 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan permintaan dan penerimaan wang suapan daripada beberapa firma guaman di sekitar negeri ini berjumlah lebih RM300,000 dari 2018 hingga 2022. 

Perintah reman hingga 21 April itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman dua lelaki tersebut yang merupakan seorang bekas pegawai bank di Melaka berusia 35 tahun dan individu berusia 43 tahun yang masih bekerja sebagai pegawai bank di Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie dalam kenyataan mengesahkan penahanan berkenaan sekitar 6 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka. 

Menurutnya kedua-dua lelaki itu disyaki menerima suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada beberapa firma guaman untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan tempat mereka bekerja.

Beliau berkata siasatan kes mengikut Sekyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan