AM

TPM, JEMAAH MENTERI RAKAM UCAPAN TAKZIAH KEPADA ARTHUR SEKELUARGA

17/04/2024 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta keluarga atas pemergian Tan Sri Joseph Kurup, yang meninggal dunia hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam hantaran di Facebooknya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada Arthur sekeluarga dalam menghadapi ujian itu.

“Semoga segala kenangan dan kasih sayang yang dikongsi bersama sahabat baik saya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, menjadi kekuatan keluarga dalam detik duka ini. Saya berharap agar semangatnya terus hidup dalam hati kita.

“Mendiang merupakan seorang rakan yang pernah berada bersama dalam Kabinet, seorang teman yang sentiasa bersemangat mendukung obor perjuangan parti tatkala susah dan senang. Pemergian beliau pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat saya dan rakan-rakan seperjuangan,” katanya.

Senada dengan beliau, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula menyifatkan mendiang sebagai seorang rakan, tokoh politik dan pemimpin yang amat disegani.

“Perjuangan dan sokongan beliau bersama Barisan Nasional amat dihargai dan kini disambung legasinya oleh anak beliau, YB Arthur. Saya mewakili BN menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Tan Sri Joseph Kurup. Semoga terus kuat dan tabah dengan berita ini,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi perkongsian di laman Facebook turut merakamkan ucapan takziah kepada Arthur sekeluarga dan berharap mereka terus tabah dengan kehilangan ini.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai.

“(Mendiang) Sentiasa memperjuangkan kebajikan dan keperluan orang Sabah, mengutamakan parti BN. Semoga tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan