AM

Sabah Kehilangan Pemimpin Luar Biasa Dengan Pemergian Joseph Kurup

17/04/2024 11:15 PM

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Sabah kehilangan seorang pemimpin yang berpengalaman dan luar biasa dengan pemergian Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mendiang berkata beliau pernah bertugas bersama Joseph sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada 1994, turut menzahirkan rasa hormat yang tinggi kepada pemimpin veteran Sabah itu.

“Saya teringat akan kepimpinan beliau yang luar biasa dan sumbangan besar yang telah beliau berikan kepada masyarakat, negeri dan negara.

“Legasi Tan Sri Joseph Kurup adalah dedikasi dan perkhidmatan, satu kehilangan yang sebenar kepada kita semua,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Joseph, 79,  yang merupakan Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, malam ini.

Bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Intergrasi Nasional) dan bersara daripada politik tahun lepas sebelum digantikan anaknya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata jasa dan sumbangan bekas Presiden PBRS itu yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) amatlah besar, malah memainkan peranan penting untuk bersama-sama mengukukan BN.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat dan negara. Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang,” katanya.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony pula menyifatkan mendiang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan konsisten dengan perjuangannya membantu rakyat di negeri ini, khususnya di pedalaman.

Beliau berkata pemergian Joseph juga merupakan antara pemimpin dari suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang banyak berjasa kepada bangsanya itu.

"Pemergian beliau (Kurup) sangat mengejutkan kita semua, secara peribadi saya menyanjungi beliau, begitu banyak sekali jasanya, bukan saja kepada rakyat di negeri ini, tetapi juga seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata barisan Ahli Majlis Tertinggi serta ahli parti mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan