JENAYAH & MAHKAMAH

Mho Minta Kes Penipuan Pelaburan Disiasat Mengikut Salah Laku Jenayah

17/04/2024 09:28 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji semula laporan 500 mangsa penipuan pelaburan agar ia disiasat mengikut salah laku jenayah. 

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata ia susulan kes mereka dipercayai dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan tidak lagi disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).  

“Saya rayu Peguam Negara nilai semula kes ini dan untuk menilai semua surat aduan setiap mangsa. Kita juga minta Peguam Negara nilai representasi undang-undang yang kita sediakan.

“Kita rayu pertimbangkan kuasa budi bicara supaya kes ini disiasat secara jenayah di bawah Seksyen 420, 415 dan 419 Kanun Keseksaan dan mengeluarkan satu arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM iaitu perintah untuk menyiasat supaya siasatan dapat dibuka semula tidak hanya dirujuk kepada agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai kira-kira 100 mangsa penipuan pelaburan untuk menyerahkan surat aduan kepada wakil Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, MHO dilapor mendedahkan taktik syarikat pelaburan yang dikesan menggunakan nama tokoh korporat terkenal selain menawarkan dividen tinggi sehingga 3.3 peratus sebulan bagi memperdaya mangsa.

PDRM dilaporkan telah menerima 547 laporan berhubung kes penipuan oleh tiga syarikat pelaburan dan sebanyak 62 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan