JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS LEPASKAN TEMBAKAN, PEMANDU KERETA SELUDUP 22 TONG PLASTIK PETROL

17/04/2024 08:25 PM

KOTA BHARU, 17 April (Bernama) -- Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah Proton Iswara apabila pemandunya membahayakan nyawa anggota polis yang hendak memeriksa kenderaan disyaki cuba menyeludup petrol itu, di Pos Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.10 pagi apabila anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am melakukan rondaan dan terlihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan, sebelum bertindak mengejarnya.

Beliau berkata suspek yang berhenti di bahu jalan di kawasan lapang berhampiran pos itu secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan ke arah anggota yang turun daripada motosikal untuk menghampirinya bagi tujuan pemeriksaan. 

"Anggota polis yang terkejut dengan tindakan suspek sempat mengelak dan terus melepaskan satu das tembakan bagi memberhentikannya dan meminimumkan ancaman ke atas nyawa anggota polis yang bertugas. Bagaimanapun suspek terus memecut untuk melarikan diri. Kenderaan itu kemudiannya ditemukan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek tidak dapat dikesan selepas dipercayai melarikan diri ke arah belukar berhampiran, dan polis menemukan 22 tong plastik berisi minyak petrol di dalam kereta yang ditinggalkan, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Mohd Khairi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh, dan satu kesan tembakan pada rim tayar belakang sebelah kanan kenderaan dikesan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan