AM

INSIDEN PULAU ANGSA: KOTAK HITAM HELIKOPTER MARITIM MALAYSIA DITEMUI

17/04/2024 08:04 PM

SHAH ALAM, 17 April (Bernama) --  Kotak hitam helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 5 Mac lalu ditemukan petang tadi selepas 44 hari pencarian.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata kotak hitam berkenaan dijumpai pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas ekor pesawat terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa, iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

"Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisis data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

"Pihak Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Hamid berkata operasi pencarian yang melibatkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Beliau berkata selain Maritim Malaysia, misi pencarian kotak hitam itu turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Turut terlibat dalam misi ini adalah pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor, katanya.

Dalam kejadian pada 5 Mac itu, pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan