EKONOMI

HEITECH PADU CADANG TAWARAN SAHAM PERSENDIRIAN UNTUK RAIH RM22.98 JUTA MODAL KERJA

17/04/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- HeiTech Padu Bhd bercadang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian 10.12 juta saham biasa baharu, bagi meraih hasil kasar berjumlah RM22.98 juta yang akan digunakan sebagai modal kerja.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata terbitan saham biasa baharu itu mewakili 10 peratus daripada jumlah bilangan saham yang diterbitkan syarikat itu dan ia akan ditawarkan kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian.

“Hasil ini akan digunakan terutamanya untuk gaji kakitangan, caruman berkanun majikan, bayaran kepada pembekal dan pemiutang, perbelanjaan pentadbiran pejabat, perbelanjaan utiliti dan perbelanjaan overhead,” katanya.

Dalam makluman Bursa Malaysia sebelum ini, HeiTech Padu berkata ia telah memperoleh kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190.01 juta pada 15 April.

Perolehan kontrak itu merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi serta sistem MySikap di semua pejabat JPJ.

Kontrak tersebut adalah untuk tempoh 36 bulan bermula dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan