AM

KERAJAAN AKAN WUJUDKAN RUU BAHARU PERTINGKAT KESELAMATAN DI PINTU MASUK NEGARA - FAHMI

17/04/2024 09:32 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Kerajaan akan mewujudkan satu rang undang-undang (RUU) baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk negara, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata RUU itu yang sedang dirangka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membolehkan satu agensi penyelaras mengawal selia pintu masuk negara.

“Kita jangka dalam masa yang tidak terlalu lama KDN akan membawa satu RUU supaya ada satu agensi penyelaras antara beberapa agensi terlibat untuk mengawal selia pintu masuk negara… ia akan mempunyai punca kuasa dari segi undang-undang untuk mereka beroperasi dengan kuasa secukupnya.

"Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad lepas yang menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya dan satu daripadanya telah terkena pengawal peribadi wanita itu.

Suspek lelaki berusia 38 tahun itu kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam selepas ditahan pada kira-kira 3 petang di Kota Bharu, Kelantan Isnin lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. 

Fahmi juga berkata aspek keselamatan di semua pintu masuk negara sentiasa diutamakan bagi menjamin tahap keselamatan dan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata Jemaah Menteri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

“Memandangkan pihak berkuasa telah memberikan kenyataan khususnya Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) maka Jemaah Menteri melihat ia adalah menyeluruh dan kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan