EKONOMI

BANK ISLAM BERJAYA KURANGKAN IMPAK OPR PADA 2023

17/04/2024 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd berjaya mengurangkan impak kadar dasar semalaman (OPR) yang tidak berubah seterusnya membawa kepada margin pendapatan bersih (NIM) yang bertambah baik pada tahun lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata terdapat peningkatan berurutan dalam NIM Bank Islam daripada 2.06 peratus pada suku pertama 2023 kepada 2.11 peratus pada suku kedua 2023 dan 2.17 peratus pada pada suku ketiga 2023.

Beliau berkata bank itu mengekalkan momentum untuk mencapai NIM pada 2.13 peratus pada suku keempat 2023, menjadikan keseluruhan NIM sebanyak 2.12 peratus bagi 2023.

“OPR kekal tidak berubah pada bulan-bulan awal 2023, membawa kepada peningkatan kos deposit dan seterusnya pengurangan NIM kami pada suku pertama 2023 daripada 2.28 peratus pada 2022.

“Perkembangan luar jangkaan ini memerlukan tindak balas strategik dan segera bagi menyelaraskan kos pembiayaan kami dengan kadar semasa, sekali gus melindungi keuntungan kami,” katanya dalam laporan tahunan Bank Islam 2023 yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

Mohd Muazzam berkata bank itu ‘menangani penurunan sedikit NIM itu secara cekap, mencerminkan langkah-langkah proaktifnya bagi menyelaraskan kos kewangan dengan persekitaran OPR yang kekal tidak berubah.’

Sementara itu, kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM553.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, peningkatan 12.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Mengenai prospek masa depan, Bank Islam berhasrat untuk menyelaraskan strateginya dengan matlamat ekonomi dan alam sekitar negara dengan memberi tumpuan terutamanya kepada sektor yang dikenal pasti bagi pertumbuhan dan kemampanan.

“Kami akan memberi penekanan menyesuaikan produk dan perkhidmatan kami bagi memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah, meningkatkan keupayaan digital kami, dan melabur dalam kemahiran dan teknologi yang diperlukan untuk masa depan.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memanfaatkan peluang strategik yang terhasil daripada dasar dan inisiatif hijau Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan pada 2024 adalah kepada pertumbuhan, kualiti aset, mudah tunai dan pengurusan pembiayaan serta keuntungan untuk menerajui sektor perbankan Islam Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan