EKONOMI

PERANAN STRATEGIK MIDA DALAM NIMP 2030 TARIK PELABURAN BERKUALITI DAN BERNILAI TINGGI

17/04/2024 04:19 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Sebagai organisasi penting dalam memajukan pembangunan ekonomi Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) secara strategik memacu pelaburan utama ke dalam negara.

Susulan perubahan landskap ekonomi global yang menggugat strategi rantaian bekalan dan daya tahan konvensional, MIDA menyelaraskan usahanya secara tersendiri menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang bertujuan untuk memupuk struktur ekonomi yang kompleks dan mampan.

Di bawah kepimpinan berwawasan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman, MIDA telah merangka dan melaksanakan strategi secara dinamik untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.

Dengan menumpukan kepada sektor penting seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), bahan kimia khusus, farmaseutikal, peranti perubatan, dan industri kenderaan elektrik yang berkembang pesat, MIDA mempersiapkan Malaysia untuk muncul sebagai kuasa industri global.

“Setiap sektor penting kepada strategi komprehensif kami, meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dalam arena perindustrian global,” kata Arham kepada Bernama menerusi temu bual secara emel.

Impak strategik unit Delivery Management Office MIDA

Menurutnya, MIDA memainkan peranan menyeluruh apabila terlibat secara langsung dalam 36 daripada 62 pelan tindakan yang digariskan dalam NIMP 2030. 

Memandangkan penglibatan meluas ini, beliau berkata organisasi itu perlu menubuhkan unit berstruktur dalaman, yang dikenali sebagai Delivery Management Office khusus untuk menyelaras, memantau dan melaporkan pelaksanaan pelan tindakan ini di bawah bidang kuasa MIDA.

Pendekatan berstruktur ini menggariskan komitmen MIDA untuk memastikan pelaksanaan objektif strategiknya yang berkesan dan cekap termasuk menyelaraskan usaha dalam seluruh sektor kerajaan dan perindustrian, memantau kemajuan, dan memastikan penyampaian maklumat terkini secara berkesan.

Arham berkata MIDA mempunyai pengaruh mendalam terhadap landskap pelaburan Malaysia. 

Menerusi pembangunan dasar yang kondusif dan insentif yang menarik, ia telah berjaya menarik pelaburan besar ke dalam sektor sasarannya, katanya.

Pada 2023 sahaja, Malaysia menyaksikan lonjakan pelaburan, menarik RM329.5 bilion pelaburan merentas sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama -- peningkatan memberangsangkan sebanyak 23.0 peratus daripada tahun sebelumnya.

Industri E&E, khususnya, telah mencatatkan pertumbuhan ketara, dipacu oleh tumpuan strategik MIDA.

Pada 2023, projek E&E utama termasuk pengembangan oleh syarikat seperti Infineon dan X-Fab, yang menyumbang kepada angka pelaburan tertinggi pernah dicatatkan dalam sektor ini.

“Tumpuan kami kepada sektor E&E bukan sahaja untuk memenuhi permintaan semasa global tetapi juga secara strategik meletakkan Malaysia dalam bidang industri berteknologi tinggi,” kata Arham, yang akan bersara hari ini.

Menangani Ketidaktentuan Ekonomi Global

Beliau berkata, meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu, strategi MIDA dirangka dengan rapi untuk memanfaatkan keadaan ini bagi memberikan kelebihan kepada negara.

"Kami tidak hanya bertindak balas kepada trend global; kami juga membuat persediaan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing," kata Arham.

Strategi ini, katanya, termasuklah penyepaduan teknologi digital dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa, sejajar dengan inovasi global dan corak pelaburan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia telah melaburkan sumber yang besar untuk memberi tumpuan utama kepada pendigitalan sambil menggalakkan syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, melakukan perkara yang sama.

“Negara kita mendahului dalam pelan hala tuju pendigitalannya dan pelaksanaan perlu seiring dengan perancangan.

“Oleh itu, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan kerjasama antarabangsa, kami yakin dapat mencapai objektif utama yang digariskan dalam NIMP 2030,” kata Arham.

Menerusi inisiatif strategik ini, MIDA sedang memacu Malaysia ke arah menjadi peneraju global dalam industri bernilai tinggi, menandakan satu langkah penting dalam trajektori pembangunan ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan