SUKAN

PEARLY-THINAAH CARI FORMULA TERBAIK HARUNGI SUKAN OLIMPIK 2024

17/04/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Selepas berjaya menempah slot secara tidak rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah kini fokus mencari formula terbaik menjadi pasangan konsisten, dalam usaha menampilkan persembahan luar biasa pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pearly, 24, berkata mereka sedang merangka strategi bersama barisan kejurulatihan untuk kembali mengesan ‘kelompangan’ corak permainan yang dipamerkan, dengan menganalisis video untuk mengesan kekuatan dan kelemahan mereka. 

“Jurulatih telah berbincang dengan kami tentang kesilapan sama berpandukan beberapa permainan sebelum ini. Pada permainan pertama kami menang dan apabila mendahului, (mesti) kurang konsisten dan kalah.

“Kami sedang mencari cara untuk menyelesaikan masalah. (Mengenai latihan di luar negara) kami belum mendengar apa-apa daripada jurulatih, kerana mereka sedang fokus pemain ke Piala Uber 2024,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia baru-baru ini.

Ditanya sekiranya juara Terbuka Perancis 2022 itu akan memilih bilangan kejohanan yang disertai atau sebaliknya sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Olimpik, Pearly berkata semua keputusan itu diserahkan kepada barisan kejurulatihan yang pastinya lebih mengetahui tahap keupayaan mereka dalam gelanggang. 

Anak jati Kedah itu memaklumkan, Masters Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada 21-26 Mei ini hanya menjadi satu-satunya kejohanan yang diketahui akan berada dalam radar mereka setakat ini.

“Kami bebas daripada kecederaan tetapi perlu fokus untuk menjadi lebih kuat, kerana terdapat banyak kejohanan dengan intensiti tinggi. Saya sudah bersedia dari awal kerana saya ingin beraksi di Olimpik tetapi perlu menjaga kondisi badan, memperkuat otot dan menjaga diri saya.

“.. Olimpik merupakan mimpi setiap atlet (termasuk) saya dari kecil hingga sekarang. Saya sangat gembira kerana telah berjaya dan sekarang saya hanya mahu fokus dan berharap untuk memberikan hasil terbaik,” katanya.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan