AM

BINTULU ALAMI PEMBANGUNAN PESAT LIMA TAHUN AKAN DATANG - PREMIER SARAWAK

17/04/2024 02:49 PM

BINTULU, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak akan memperbesarkan Taman Perindustrian Samalaju (SIP) bagi menarik banyak pelaburan sekali gus menyaksikan Bintulu mengalami pembangunan pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelbagai kemudahan infrastruktur akan disediakan termasuk meningkatkan kapasiti bekalan tenaga elektrik kepada 1,500 megawatt pada 2028 untuk membantu proses pembesaran taman perindustrian itu.

“Tenaga elektrik akan dinaikkan sehingga 1,000 megawatt dengan menjanakan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) akan ditauliahkan pada 2028.

“Jadi fasa pertama 1,000 megawatt. Fasa kedua akan kita tauliahkan juga pada 2028 dengan tambahan 500 megawatt. Ini bermakna Bintulu akan menjana kuasa elektrik 1,500 megawatt,” katanya pada Majlis Aidilfitri Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) di sini hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri akan mencuba untuk menghasilkan elektrik dengan menggunakan tenaga kinetik menerusi alunan gelombang air laut dan dilaksanakan di jeti sepanjang 3.5 kilometer (km) di Samalaju.

“Percayalah saya nak cuba semua termasuklah mengeluarkan elektrik daripada tangki bertingkat kerana ia bergantung kepada konsep graviti. Jadi kita Sarawak ada air, kita ada gelombang. Kita gunakan semua sumber ini untuk menjanakan ekonomi baharu kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Persekutuan dijangka memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu selepas Jun depan.

Menurut Abang Johari, pemansuhan akta itu membolehkan pelabuhan tersebut diserahkan kembali kepada Sarawak selepas dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan selama 43 tahun.

“Saya ada rancangan untuk Pelabuhan Bintulu tapi saya tidak dapat beritahu pada masa ini.

“Biarlah saya simpan dahulu tapi insya-Allah apabila Pelabuhan Bintulu telah diambil alih, ia akan menjadi perkara terpenting di rantau Asia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan