JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS EKSEKUTIF PENTADBIRAN DIDAKWA PECAH AMANAH WANG SYARIKAT LEBIH RM100,000 

17/04/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Seorang bekas eksekutif pentadbiran sebuah syarikat perunding mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima pertuduhan pecah amanah wang syarikat lebih RM100,000 bagi kegunaan peribadinya antara 2018 dan 2022.

Bagi kelima-lima pertuduhan itu Nur Syuhada Rohaizat, 33, didakwa sebagai eksekutif pentabdiran di Seek Education Sdn Bhd yang diamanahkan dengan buku cek syarikat telah melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan 29 keping cek syarikat bernilai RM145,000 serta mendepositkan cek-cek berkenaan ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya bagi kegunaan peribadi. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Seek Education Sdn Bhd, Plaza Mont Kiara di Brickfields di sini antara 1 Jun 2018 dan 12 April 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi dan Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan, namun peguam Ahmad Ikram Ab Alim yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnnya mempunyai tanggungan keluarga. 

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan ke mahkamah dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan