AM

HAYATI KARYA SWEDEN PADA PROGRAM JOM BACA BERSAMA 10 MINIT @ BERNAMA

17/04/2024 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Orang ramai berpeluang membaca beberapa hasil karya kesusasteraan Sweden yang diterjemah serta diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin pada Program Jom Baca Bersama 10 Minit anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada 23 April ini.

Pengurus Maklumat Perpustakaan Digital Bernama Hasnita Ibrahim berkata antara hasil karya diketengahkan dalam program dijadual dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil itu ialah buku bertajuk ‘Pokok Pain’, ‘Kawah’ dan ‘Semua Orang Berlalu Pergi’.

“Karya-karya ini diketengahkan berikutan kerjasama antara Bernama dan Kedutaan Sweden dalam menganjurkan program itu sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun.

“Bernama adalah agensi kedua selepas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang pernah bekerjasama dengan kedutaan itu bagi menampilkan koleksi kesusasteraan negara berkenaan dalam program serupa terutama untuk kanak-kanak,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini. 

Hasnita berkata pada program berkenaan, pihaknya juga akan mengadakan Forum Jom Bincang yang dijangka dihadiri Duta Besar Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom dan bekas pengacara popular era 1980-an, Ferri Anugerah Makmur sebagai antara panel bagi berkongsi kejayaan masing-masing, hasil daripada tabiat membaca.

“Kami berharap program seperti ini akan membuka minda orang ramai untuk lebih banyak membaca.

“Sebenarnya membaca ini bermanfaat dari segi kesihatan mental kerana kita menjadi lebih yakin dalam kehidupan dan interaksi sosial selain mengurangkan stres dan tanpa sedar, membuatkan kita lebih dihormati  kerana menjadikan diri lebih baik untuk keluarga dan orang sekeliling,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan