AM

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 DI TUJUH NEGERI, BERMULA ESOK DI JOHOR

17/04/2024 12:25 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri, bermula dengan Johor, esok.

Menurut sekretariat majlis sambutan itu, enam lagi lagi Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 dirancang untuk diadakan di Sabah pada 20 April, diikuti Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan pula akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu dari pukul 10.30 pagi hingga 3.00 petang, dengan Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah manakala Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju.

Bagi majlis di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, ia akan bermula dari pukul 4 petang hingga 7 malam, dengan Kerajaan Negeri Johor selaku tuan rumah dan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian peneraju.

“Majlis ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama dan turut dihadiri oleh menteri besar atau ketua menteri negeri berkenaan,” menurut Sekretariat Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan tujuan utama penganjuran majlis berkenaan adalah bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, serta membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.

Majlis itu juga bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk meraikan hari kebesaran umat Islam bersama-sama pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan