AM

GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK PUNCA AIR TIADA DI PALOH, GUA MUSANG - AKSB

16/04/2024 09:43 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan gangguan bekalan air yang berlaku di Paloh 3, Gua Musang dan kawasan sekitar berpunca akibat gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Paloh, Gua Musang.

AKSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan elektrik itu telah memberi kesan secara langsung kepada pengoperasian harian loji, dan sejumlah 100 daripada 371 akaun pengguna telah terlibat di kawasan terbabit.

Menurut AKSB LRA Paloh 3 yang membekalkan air bersih sebanyak 4 Juta Liter Sehari (JLH) itu dikesan mengalami gangguan bekalan elektrik selama hampir 18 jam bermula 6 hingga 8 April lalu.

Berikutan masalah itu, AKSB mengambil langkah penyelesaian jangka pendek iaitu menempatkan tangki statik di kawasan bermasalah jika masih berlaku ketiadaan air berterusan.

“Bagi perancangan jangka panjang pula pengoperasian loji akan dipanjangjkan serta menyediakan sebuah generator khusus untuk musim perayaan,” menurut AKSB.

Dalam kenyataan sama, AKSB turut memaklumkan gangguan bekalan air yang berlaku di Gunong, Bachok khususnya Taman Putri Saadong dan kawasan sekitar adalah bersifat berkala selain permintaan bekalan air terlalu tinggi pada musim perayaan di seluruh Kelantan.

“Masalah itu berpunca daripada bekalan air yang diterima LRA Chicha telah menyusut berikutan penerobosan air masin di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumbuh sehingga menyebabkan melebihi kadar yang dibenarkan iaitu melebihi 250 ppm.

“Ia menyebabkan pengambilan air mentah melalui telaga jejari Pasir Tumbuh yang membekalkan air mentah ke LRA Chicha terpaksa dikurangkan kepada 10 JLH berbanding pengeluaran asal 15 JLH,” menurut kenyataan itu.

AKSB memaklumkan kini masing-masing sebuah tangki statik sedang ditempatkan di empat kawasan terjejas iaitu di Pasar Gunong, Taman Puteri Saadong, Taman Hamidah dan Kampung Telaga Ara.

“Untuk penyelesaian jangka panjang pula, kawasan liputan berkenaan akan diambil alih oleh LRA Telok selain meningkatkan tekanan air menerusi LRA Jelawat,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, pengeluaran air semasa di semua LRA negeri Kelantan adalah 526 JLH dan unjuran permintaan bekalan air semasa musim perayaan meningkat kepada 622 JLH manakala waktu puncak penggunaan air yang tinggi berlaku pada 8 sehingga 13 April lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan