AM

Perak, Usas Laksana Projek Perintis Tanam Padi Nmr152 Di Tanah Terbiar

16/04/2024 04:32 PM

IPOH, 16 April (Bernama) -- Perak dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kini dalam perancangan melaksanakan projek perintis tanaman padi di kawasan tanah terbiar, berkeluasan kira-kira lapan hektar di mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata kawasan tersebut akan ditanam dengan padi jenis NMR152, yang mampu mengeluarkan hasil sekitar lapan hingga 10 tan per hektar.

“Seperti dimaklumkan oleh pihak USAS, terdapat 40 hektar tanah terbiar di sekitar Kuala Kangsar. Lapan hektar daripada jumlah keseluruhan tanah terbiar itu, kita laksanakan projek perintis tanaman padi ini.

“Padi yang akan ditanam ialah jenis NMR152 dan dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Pemilihan padi jenis ini kerana ia bukan hanya mengambil masa selama 110 hari untuk dituai, bahkan tahan dalam keadaan cuaca ekstrem, serangan penyakit dan kurang menggunakan air,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Canselor USAS Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof, di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Sabri berkata projek perintis itu dilaksanakan di atas tanah terbiar yang merupakan bekas tapak sawah pada satu ketika dahulu.

“Kita telah buat kajian dan lawatan ke semua lokasi yang hendak dilaksanakan projek ini. Kita dapati ia bukan hanya bekas tanah sawah malah ada beberapa lokasi masih terdapat peralatan serta sistem saliran untuk kegunaan tanaman padi di situ,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan